Sunday, January 10, 2010

Semasa Kini

Upacara gereja berjalan lancar, aman

KUALA LUMPUR: Upacara sembahyang bagi penganut agama Kristian yang diadakan setiap Ahad di semua gereja di ibu kota hari ini berjalan dengan aman dan terkawal.

Ketua Paderi Gereja St John's Cathedral Bukit Nenas, Monsighor James Gnanapirasagam, berkata walaupun terdapat beberapa insiden lempar bom api di beberapa tempat di negara ini sejak Jumaat, upacara "mass" hari ini berjalan seperti biasa.

Beliau berkata, anggota polis yang ditempatkan di sekitar kawasan itu telah mewujudkan keadaan yang lebih aman dan terkawal.



"Kami amat berterima kasih kepada polis dan menghargai tangggungjawab mereka dalam menjamin keselamatan semasa 'mass' pagi ini.

"Sudah tentu kami merasa bimbang selepas beberapa gereja disasarkan sejak beberapa hari lalu. Bagaimanapun orang ramai tetap datang ke gereja," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berharap, rakyat Malaysia akan terus saling hormat menghormati antara satu sama lain walaupun berbeza agama dan kepercayaan, dan memastikan negara sentiasa aman dan selamat.

Beliau berkata, setiap Ahad, gereja itu mengadakan tiga sesi "mass" iaitu pada pukul 8 pagi, 10.30 pagi dan 6 petang.

Sementara itu, Micheal Joseph, 32, yang ditemui selepas bersembahyang di gereja itu berkata pada awalnya beliau takut untuk berkunjung ke gereja itu sehingga melihat beberapa anggota polis ditempatkan di kawasan tersebut.

"Bagi saya protes sebegini perlu dielakkan kerana ia boleh dibincang secara baik oleh pihak tertentu. Apa yang penting ialah minda yang lebih terbuka perlu diamalkan oleh rakyat Malaysia," katanya.

Bagi Charlene Clarisse, 33, berkata: "Sudah lama kita hidup dalam keadaan aman walaupun berbilang kaum dan agama dan janganlah disebabkan hanya mengikut perasaan ada orang lain yang cedera.

"Sebagai orang awam, kita tidak sepatutnya menimbulkan provokasi serta menilai siapa yang betul dan siapa yang salah dalam kes ini."

Solomon Pagar, 45, pula mengakui beliau risau dengan keadaan yang berlaku kerana ia membabitkan ketenteraman awam yang selama ini dapat dikekalkan oleh rakyat berbilang kaum di negara ini.

"Walaupun perasaan bimbang menghantui diri saya terutama apabila mahu pergi ke gereja tetapi saya percaya pada undang-undang yang telah diperuntukkan untuk mengatasi masalah ini," katanya. - Bernama

Jalan terbaik adalah musyawarah antara kedua-dua pihak kata Tuan Guru. Teringat satu pembacaan, "jangan ganggu paderi2 di dalam gereja. Ayuhlah kawan2 kita kaji bible, jika di sabah panggilan Allah itu sememangnya diguna oleh mereka cuma medium menaikkan doa mereka melalui makhluk lain kata seorang rakan saya yang beragama kristian. Namun, bersama musyawarah agar dapat jawapan yang terbaik dan memberi kebaikan untuk semua pihak di masa akan datang. Allah Tuhan sekalian makhluk

No comments:

Post a Comment